Saturday, January 31, 2009

Emas dan sedikit kajian

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Perbincangan mengenai emas sebagai pelaburan memang menarik. Beli emas memang tak rugi tetapi menguntungkan dan sebenarnya dapat mengukuhkan ekonomi negara.

Contohnya semasa kegawatan ekonomi pada tahun 1997/1999, rakyat thailand menggadaikan barang kemas mereka utk menstabilkan ekonomi negara mereka. Jadi saya telah belajar serba sedikit dan membuat penyelidikan mengenai emas ini melalui laman http://www.kitco.com iaitu bursa emas dunia dan sebagai contoh pada disember 2008 harga emas berada disekitar usd800 hingga usd820 per ounce (oz).

1 oz = 31.1 Gram

Harga sekarang pada 30/1/09 harganya ialah usd885 pergram dimana harga pasaran di malaysia ialah pada harga RM107.82 per gram. Sila rujuk laman http://www.publicbank.com.my dan pergi ke gold investment. Bagi harga pasaran Etika Emas Estet ianya sedikit tinggi tetapi menguntungkan juga sebab bila dijual balik ia mengikut harga pasaran.

Sebagai contoh pada 29/1/09, 1 gram dijual pada harga rm123 (harga dunia pada usd885) dan apabila harga pasaran dunia meningkat pada usd910 sebagai contoh, harga di malaysia boleh mencecah rm127 bagi 1 gram. Bayangkan jika pembeli mempunyai 100 gram emas, sudah tentu mendapat untung rm400 bagi tempoh 3 bulan (biasanya emas akan turun naik dalam tempoh ini). Nasihat saya, masa terbaik untuk membeli emas ialah apabila harganya berada pada tahap usd800 hingga usd850 per gram. Masa inilah etika emas akan menjual emasnya pada harga rm100 hingga rm110.

Lagi info emas, harga emas pada tahun 1998 ialah pada harga rm35 per gram dan dalam tempoh 10 tahun iaitu pada tahun 2008 harganya ialah rm95…… jadi bezanya ialah rm60 pergram, sekiranya pelabur menyimpan emasnya sebanyak 100 gram maka untungnya ialah rm6000.

Bayangkan jika pembeli mendapat untung bagi setiap gram antara rm5 hingga rm10, ianya cukup lumayan bagi menambahkan pendapatan. Sila hubungi saya di email pelaburanemas@gmail.com untuk mendapat maklumat lanjut dan bertukar-tukar pendapat mengenai emas ini.

Thursday, January 22, 2009

Artikel 1: Sistem kewangan berasas emas lebih adil, jujur

Berita Harian 19 Januari 2009 (Oleh Mohd Faizal Mohd Nor)

Di dalam peradaban manusia sejak sekian lama, emas adalah logam berharga yang telah menjadi simbol kepada kekuasaaan, kemewahan, dan kecantikan. Sejak itu, emas telahpun berjaya menjalankan fungsinya sebagai pengekal nilai yang paling kukuh, walaupun berhadapan dengan pelbagai pergolakan, tribulasi, peperangan, dan pelbagai lagi krisis ekonomi dan kemanusiaan.
Emas bukan sahaja dianggap sebagai barang bernilai di dunia. Bahkan Al-Quran menyebut bahawa emas kekal sebagai sesuatu yang dinisbahkan sebagai simbol kejayaan dan kemewahan di akhirat kelak.
Firman Allah SWT di dalam Al-Quran, maksudnya,

“Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh ke dalam Syurga yang mengalir padanya beberapa sungai; mereka dihiaskan di situ dengan gelang-gelang emas dan mutiara, dan pakaian mereka di situ daripada sutera.” (Al-Hajj: 23)

Sejarah menunjukkan bahawa emas telah digunapakai sebagai alat pertukaran di dalam perdagangan. Sebelum kedatangan Rasulullah SAW, emas telahpun digunakan oleh kerajaan Rom Byzantine. Malah pada zaman awal kedatangan Islam, syiling-syiling dari kerajaan Rom dan Parsi juga telah digunakan secara meluas oleh orang-orang Islam. Emas dan perak telah dijadikan sebagai ukuran kepada unit timbangan kepada harga dan upah. Sistem barter atau pertukaran barang dengan barang adalah tidak digalakkan seperti yang dinyatakan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, maksudnya,
“Bahwa Rasulullah saw. mengutus saudara Bani Adi Al-Anshari sebagai wakil beliau di Khaibar. Kemudian ia datang membawa kurma janib (kurma bermutu baik). Rasulullah saw. bertanya kepadanya: Apakah semua kurma Khaibar seperti ini? Dia menjawab: Tidak, demi Allah, wahai Rasulullah, kami membeli satu sha` kurma ini dengan dua sha` kurma yang kurang baik mutunya. Rasulullah saw. bersabda: Janganlah kamu berbuat demikian. Tetapi tukarlah dengan yang sejenis, atau juallah ini (kurma yang kurang baik mutunya) lalu belilah kurma yang baik dengan wang penjualannya dan demikian juga dengan timbangan.

Demi keadilan, barangan yang hendak didagangkan adalah sebaiknya dijual terlebih dahulu dan tidak ditukarkan secara terus dengan barangan lain. Dengan ini emas dan perak telah dijadikan perantara dalam sistem perdagangan Islam.

Emas dan perak juga telah dijadikan sebahagian dari syariat Islam. Sebagai contoh, Rasullulah SAW seperti yang diriwayatkan oleh An-Nasa’i dari Amru Ibn Hazm telah bersabda, maksudnya,
"The blood money for one soul would be 100 camels...and for those who deal in gold it would be 1000 dinars."

Imam Bukhari juga telah meriwayatkan dari Aishah (ra) bahawa Rasullulah SAW telah bersabda, maksudnya "The hand is cut for the theft of one-quarter dinar and upward."

Hanya bertahun selepas kewafatan Rasullulah SAW, orang Islam tidak lagi menggunakan syiling -syiling Rom dan Parsi apabila pada tahun 77 Hijrah (696) ketika zaman pemerintahan Khalifah Abul Walid Abd al-Malik ibn Marwan, emas yang pertama telah ditempa. Gambaran manusia dan binatang yang ada pada syiling-syiling Rom dan Parsi telah digantikan dengan perkatan "la ilaha ill' Allah". Syiling emas ini telah digunakan secara meluas di jajahan-jajahan Islam sehinggalah keruntuhan kerajaan Turki Uthmaniyyah.

Pada masa ini perantara kepada perdagangan telah berubah dari emas kepada wang kertas. Terpisahnya emas dari sistem kewangan dunia bermula dengan berakhirnya sistem Bretton Woods. Runtuhnya kerajaan Turki Uthmaniyyah menandakan tamatnya era perdagangan dan sistem kewangan Islam yang adil dan jujur. Lompang kewangan yang ditinggalkan itu sedikit demi sedikit mula diisi oleh sistem ekonomi kapitalis yang kejam dan zalim dengan riba dijadikan senjata untuk meruntuhkan struktur kewangan sedunia yang telah dibangunkan sekian lama.
Uniknya emas ialah ianya tidak dimiliki oleh mana-mana negara, pertubuhan, parti politik, mahupun individu. Ianya diterima dan diiktiraf di kalangan semua negara, agama, dan bangsa sebagai sesuatu yang bernilai dan berharga. Bahkan sifat emas itu sendiri yang sukar ditemui dan dihasilkan menjadikan ianya amat sesuai dijadikan sandaran nilai bagi sesuatu. Justeru, ianya sukar itu untuk dimanipulasi atau dispekulasi.

Ketika ini telah banyak kedengaran suara-suara agar diwujudkan kembali sistem kewangan berasaskan emas. Suara penentangan juga didengari dari komuniti Islam sehinggakan Dr. Umar Ibrahim Vadillo telah menfatwakan haram menggunakan wang kertas. Walaupun tidak semua bersetuju dengan fatwa tersebut, ini tidak menafikan bahawa wang kertas ada mempunyai masalah dari segi praktikal dan aplikasi lebih-lebih lagi perkara yang sudah nyata haram iaitu riba, adalah pemangkin kepada sistem kewangan berasaskan wang kertas.

Samada masalah terbabit sudah cukup menjadi penyebab kepada pengharaman wang kertas perlu kepada kajian dan penelitian yang lebih lanjut dan mendalam. Apa yang nyata, emas akan sentiasa ada untuk menjadi alternatif kepada sistem kewangan dunia masakini.

Krisis ekonomi di Amerika Syarikat hari ini adalah petanda bahawa sistem kapitalis yang diagungkan oleh mereka selama ini adalah sistem yang pincang dan menyebabkan kemusnahan serius terhadap ekonomi. Malangnya, itulah sistem yang cuba diserapkan oleh mereka ke dalam pemikiran seluruh masyarakat dunia sebagai satu sistem yang sempurna dan wajib digunapakai. Mana-mana negara yang cuba keluar dari sistem tersebut dianggap sebagai tidak mematuhi tatacara kewangan antarabangsa dan boleh dikenakan tindakan.

Penjajahan pemikiran bentuk baru seperti ini adalah penjajahan moden di dalam meneruskan tradisi imperalisme mereka, selain dari pelbagai penjajahan bentuk lain seperti hiburan, fesyen, gaya hidup, dan lain-lain. Oleh itu adalah amat penting bagi umat Islam untuk membebaskan diri mereka dari belenggu penjajahan pemikiran seperti ini supaya erti kemerdekaan sebenar mampu dikecapi, bukan sekadar meraikan kemerdekaan dengan menunggu detik 12 malam sambil dijamukan dengan pelbagai bentuk hiburan yang juga diimport dari kuasa imperalis tersebut.

Memang benar sistem perhambaan tidak lagi wujud pada hari ini. Walau bagaimanapun, keadaan dunia pada hari ini tidak ubah seperti perhambaan zaman moden yang memerlukan sebuah negara kuasa besar menentukan apa yang perlu dilakukan oleh negara-negara kecil yang lain. Justeru, tidaklah menjadi satu keajaiban apabila dunia Islam yang begitu kaya dengan khazanah semulajadinya gagal memanfaatkan sumber-sumber tersebut untuk kepentingan dan pembangunan ummah. Bahkan kekayaan sumber semulajadi itu dieksport ke negara-negara kuasa besar dan apa yang diterima kembali hanyalah kertas yang dicetak berupa wang tanpa sebarang sandaran nilai yang kukuh. Bayangkan sekiranya berlaku sebarang masalah pada negara yang mengeluarkan wang tersebut. Ke manakah “kertas-kertas” tersebut akan ditebus untuk dituntut nilainya? Hal ini adalah tidak mustahil kerana ianya telahpun berlaku sekitar tahun 1930an ketika dunia mengalami krisis ekonomi yang serius di mana ketika itu, “kertas-kertas” tersebut hanya layak menjadi bahan untuk dibakar kerana harga kayu api lebih mahal dari nilai “kertas-kertas” tersebut.

Oleh yang demikian, adalah penting untuk kita memiliki aset fizikal seperti emas yang mana nilainya sentiasa kukuh. Sebenarnya tujuan utama memiliki emas fizikal bukanlah sekadar mendapat keuntungan ke atas modal tetapi juga melindungi nilai aset daripada penyakit klasik zaman berzaman iaitu inflasi dan deflasi. Ini tidaklah bermaksud emas menjadi penyelesaian mutlak bagi semua masalah ekonomi, namun sekurang-kurangnya ia mampu meminimumkan risiko-risiko seperti yang disebutkan di atas.

Pada masa ini, terdapat beberapa buah negara kuasa besar yang telah mula menunjukkan minat pada logam terpilih ini. Bukan menjadi rahsia lagi bahawa negara-negara seperti Rusia dan China telah mula meningkatkan rizab emas mereka semenjak beberapa tahun yang lalu. Bayangkan apa akan terjadi kepada negara seperti China yang memegang rizab USD terbesar di dunia dengan pegangan lebih 1 trillion USD sekiranya berlaku krisis kepercayaan yang meruncing pada matawang tersebut. Ke manakah akan dilongokkan timbunan “kertas-kertas” tersebut?

Salam Ukhwah & Selamat Datang

Selamat Datang...

Selamat datang ke emaspelaburanbijak.blogspot.com. Saya amat mengalu- alukan komen/testimonial anda terhadap blog ini.

Blog ini adalah bertujuan untuk perkongsian ilmu dan manfaatnya untuk semua. Sila ajukan sebarang komen sebagai tanda sokongan anda disini.

Terima Kasih.

Dari Pengurusan.